Saya telah menyuarakan ini di Forum Pasca PRU 12 - Peniliaian yang diadakan pada 1 April 2008 di Petaling Jaya.
Online Petition pun disediakan
Walaupun tidak begitu spesifik ini adalah peringkat pertama dalam inisiatif ini. Untuk megwujudkan kesedaran dikalangan ahli dan penerimaan konsep di kalangan ahli.
UPDATED VERSION 8 March 2008
==========================
28 MAC 2008
CADANGAN USUL UMNO CAWANGAN
CAWANGAN :
BAHAGIAN :
KEPIMPINAN BERCOGANKAN BERSATU – BERSETIA - BERKHIDMAT
USUL:-Dengan ini, Kami, menyedari bahawa berdirinya kami di tahap ini adalah hasil gigih usaha kerajaan BN dan UMNO khususnya, maka usul ini kami bentangkan atas perasaan menghargai usaha dan jasa pucuk pimpinan sebelum ini yang telah ‘melahirkan’ kami. Pemilihan untuk memastikan kita akan mempunyai kepimpinan selaras dengan cogan kata keramat BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT amat diperlukan untuk meniup nafas baru ke dalam UMNO. Kami berdoa dan berharap agar suara semua ahli UMNO tanpa mengira peringkat tidak dipinggirkan.
Sejajar dengan hak ahli yang dimeterai dalam Fasal 6.2.2 Perlembagaan UMNO menjamin hak bagi Ahli UMNO untuk “memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti”, maka dengan ini, kami mencadangkan usul supaya pindaan perlembagaan UMNO dan juga tatacara yang berkaitan dengan pemilihan dilakukan dalam tempoh yang terdekat ini, dan dengan itu membolehkan ahli UMNO memilih pemimpin mereka di bahagian dan seterusnya di peringkat Majlis Tertinggi UMNO, secara terus. Proses ini hendaklah sempurna untuk dilaksanakan menjelang tahun 2010.
Asas Usul:-
Pilihanraya Umum 12 telah memberi maklum balas yang jelas bahawa satu anjakan ketara dan drastik telah berlaku dalam hati dan minda rakyat Malaysia. Tema yang asyik panas diketengahkan di kebanyakan negeri tika ini, adalah betapa rakyat Malaysia telah bosan dengan mainan politik Barisan Nasional dan parti-parti komponennya. Fakta menunjukkan bahawa jentera pilihanraya BN (yang sebelum ini digeruni) gagal menelah “Mood swing” para pengundi, satu petanda jelas peri tidak pekanya BN tentang realiti persekitarannya. Akibat kegagalan ini BN terpaksa berhadapan dengan beban kesan ketara dan negatif yang perlu digalasnya.
Lantaran itu, sudah tibalah waktu dan ketikanya bagi UMNO selaku parti induk BN, untuk membuktikan keupayaannya bertindak balas dan mengambil iktibar dari keputusan tersebut untuk ‘mencipta semula’ (re-invent) BN,dalam kadar segera.
Pucuk pimpinan komponen lain telah berundur dari Kabinet kerana ingin menumpukan perhatian dan masa mereka sepenuhnya kepada proses cipta-semula parti masing-masing. Komitmen dan kesungguhan pucuk pimpinan MCA dalam proses cipta-semula ini, jelas terserlah melalui kesediaan mereka untuk meneruskan proses pemilihan pimpinan tahun ini, meskipun mereka berdepan dengan ‘malapetaka’ yang hampir pasti memunahkan mereka . AlhamduLillah, UMNO juga turut meneruskan pemilihan di semua peringkat pada tahun ini. Namun dalam pada itu, kita harus sedah bahawa salah satu punca yang dikatakan menjadi penyebab kekalahan tersebut ialah isu kepincangan kepimpinan.
Acap kali terusainya proses pemilihan kepimpinan UMNO, suara-suara ahli UMNO yang ‘terkejut’ dengan keputusannya,menjadi sesuatu yang hampir wajib didengari, seolah-olah keputusan yang tercapai tidak mencerminkan keinginan sebenar ahli akar umbi. Malah proses pencalonan dan cadangan untuk bahagian dan Majlis Tertinggi UMNO seolah-olah telah di rancang dan diputuskan oleh kepimpinan cawangan. Lantaran itu, demi kejayaan proses 'cipta semula' ini, soalan yang wajib dijawab adalah: mungkinkah sistem pemilihan pemimpin ini sendiri menjadi salah satu punca kepincangan ini.
Mungkinkah pemilihan yang perlu melalui proses saringan di beberapa peringkat ini, menjadi punca utama kepincangan yang kita alami tika ini?
Seperti yang kita tahu, UMNO mempunyai empat peringkat pentadbiran, PUSAT, PERHUBUNGAN (negeri dan wilayah), BAHAGIAN dan CAWANGAN. Pemilihan cuma diadakan di peringkat PUSAT, BAHAGIAN dan CAWANGAN dan tidak di peringkat PERHUBUNGAN.
Peringkat Pertama – Ahli UMNO cawangan memilih perwakilan untuk menghadiri mesyuarat agung Bahagian, iaitu tidak melebihi 5 wakil daripada setiap cawangan. (Fasal 14.4.4 dan 17.5.6)
Peringkat Kedua – Perwakilan yang dipilih termasuk ketua cawangan berhak memilih perwakilan bahagian ke mesyuarat agung tahunan UMNO (Fasal 14.5.2) dan mencadangkan calon MT (Fasal 14.5.4) . Berdasarkan perlembagaan UMNO, wakil dipilih oleh Perwakilan Tahunan Bahagian, iaitu seorang wakil bagi tiap-tiap lima ratus orang ahli tetapi tidak melebihi tujuh orang daripada sesuatu Bahagian. Ini tidak termasuk Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian.
Peringkat Ketiga – Perwakilan ke MAT memilih Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang hadir. Selain daripada perwakilan bahagian tadi, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, Ahli Majlis Tertinggi dan perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri juga hadir.
Lazimnya proses pemeringkatan dan penapisan dalam industri menghasilkan produk yang lebih tinggi kualitinya, seperti yang berlaku dalam pemerosesan kelapa sawit. Malangnya ‘pemeringkatan’ perwakilan dan penapisan keinginan ahli untuk memilih pucuk pimpinan tidak semestinya memastikan peningkatan kualiti. Bahkan, yang nyata berlaku adalah yang sebaliknya, kerana keinginan ahli hampir selalu tak kesampaian.
Mesyuarat Agung Tahunan menyaksikan lebih kurang 2200 ahli UMNO memilih Ahli Majlis Tertinggi. Daftar ahli UMNO terkini menunjukkan ahli berjumlah kira-kira 3.2 juta. Justeru itu, setiap seorang daripada perwakilan yang berjaya ke Mesyuarat Agung Tahunan ini memikul di atas bahu mereka, amanah dan harapan milik hampir 1400 ahli yang tidak terpilih untuk menghadiri acara kemuncak tahunan ini. Dengan yang demikian, jika dinyatakan dalam bentuk peratusan, hanya 0.07% ahli UMNO berpeluang dan bertanggungjawab untuk memilih ahli MT ini. Malangnya juga 2200 adalah satu angka yang kecil, bahkan terlalu kecil yang memudahkan calon MT untuk ‘berjumpa’ dan ‘berbincang’ dengan mereka. Suatu angka yang cukup kecil untuk ‘dipengaruhi’.
Bukankah kita sering mendengar betapa politik wang begitu berbahaya hingga mampu menghancurkan parti? Namun, bukankah proses pemilihan MT yang kita bina dengan tangan kita sendiri ini, memudahkan politik wang? Cuba bayangkan, berapa agaknya bilangan perwakilan di peringkat 190 bahagian yang ada. Bukankah ia satu angka yang hampir mencecah 25,000? Dan bayangkan pula jika angka tersebut satu angka sebesar 3.2 juta ahli UMNO yang ada. Bukankah ini bakal menyukarkan proses ‘mempengaruhi’ dan ‘berbincang’, yang dinyatakan tadi? Nyata lebih mudah ‘berkempen’ kepada 2200 orang berbanding 3.2 juta ahli.
Alasan serampang dua mata yang sering digunakan untuk mempertahankan sistem pemilihan ahli MT yang sedia ada ini adalah
a) Ahli tidak mengenal calon. Bukan kerana mereka tidak mahu, namun calon sering tidak mendekati mereka kecuali semasa pemilihan.
b) Masa pemilihan agak singkat maka calon hanya mampu berjumpa ahli perwakilan sahaja. Mereka tiada masa untuk menemui ahli biasa.
Sebenarnya ada cara terbaik untuk memastikan yang calon bahagian atau MT dikenali oleh ahli biasa. Cara ini adalah satu proses yang dipanggil “BERKHIDMAT”. Satu proses yang memerlukan calon menyingsing lengan dan mengerah tenaga, yang rata-rata tidak popular dan agak sukar dilaksanakan, namun terbukti kaedah terbaik untuk memastikan yang ahli mengenali calon.
Pemilihan bukan sahaja masa untuk ahli menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin, bahkan inilah peluang bagi pemimpin untuk menunjukkan kesetiaannya kepada ahli. Ahli akan memilih calon yang BERSETIA kepada mereka sebagai ahli parti, dan kepada prinsip parti. Ini bermakna calon hendaklah daripada kalangan mereka yang mendukung prinsip dan perjuangan, bukan sekadar ucapan dan retorik kosong, bahkan mampu menzahirkan kata-katanya melalui amalan.
Dengan pemilihan secara lebih terbuka ini, bolehlah kita memilih tanpa perlu berkempen dengan terlalu hebat dan dahsyat seperti yang telah menjadi resam dalam setiap pemilihan selama ini. Maka lontaran fitnah, kata-kata nista, mahupun lontaran ‘hadiah’ juga dapat dikurangkan. Ini kerana calon sudah dikenali dan 'dicintai’ melalui Khidmat yang telah mereka hulurkan. Tiada jalan lain untuk memastikan yang ahli akan memberi kesetiaan kepada pemimpin, melainkan pemimpin terlebih dahulu membuktikan kesetiaan kepada ahli dengan mencurahkan bakti kepada mereka. Kurangnya rasa sedih, marah dalam kalangan ahli semasa peringkat pemilihan akan membuahkah natijah yang cukup manis, iaitu BERSATU.
Inilah yang kita impikan; KETIGA-TIGA COGANKATA UMNO DIREALISASIKAN, dan tidak sekadar menjadi nyanyian dalam majlis-majlis UMNO.
Dari segi logistik, memang sukar untuk memastikan semua ahli UMNO mengundi. Namun bukankah sudah menjadi resam bahawa sesuatu yang berharga itu, lebih sukar diperolehi? Yang jelas dan pasti, menidakkan dan meminggirkan hasrat ahli UMNO menjadi satu penyebab parti menjadi lemah dan bukti paling mutakhir telah pun dapat kita saksikan melalui kepincangan prestasi BN dalam PRU12 tempoh hari.
Yang lebih utama, kita harus menyedari bahawa aspek politik yang membawa kepada penyatuan ini, jauh lebih agung daripada karenah yang telah memecah belahkan kita. Cukuplah dengan hanya beberapa insan sahaja yang benar-benar yakin dengan realiti ini, dan atas keyakinan luhur ini, mengorak langkah untuk melakukan sesuatu untuk memperkasakan parti UMNO yang kita cintai. Meskipun kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah, namun kita hampir pasti dapat menggerakkan sesuatu yang bakal memberi makna yang cukup mendalam untuk kita semua.
Dalam pilihanraya Umum Ke-12, UMNO telah menerima kejutan hebat, satu ‘wake-up call’, untuk bangun dari tidur yang lena, . Janganlah kita menghulurkan tangan untuk menekan butang Lelap (‘Snooze’) pula.
Sesuatu yang kita bina daripada rasa cinta adalah sesuatu yang pastinya lebih kekal dan bermakna. Umpama ibadat yang dilaksanakan atas dasar cinta kepada Allah swt, sudah pastilah lebih mendalam kesannya berbanding yang dilakukan kerana takut kepadaNya mahupun atas rasa benci terhadap agama lain. InsyaAllah usaha kita yang lahir daripada rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara, yang ikhlas dan bebas daripada rasa benci dan dendam kesumat ini akan berkekalan, dan diredhai.
InsyaAllah
No comments:
Post a Comment